Bagi memastikan guru matematik dapat membuat penilaian yang tepat dan baik dalam PdP matematik, guru-guru perlulah berpandukan kepada Buku Panduan PBD Edisi Kedua terbitan 2019 oleh KPM. Ini selaras dengan hebahan setiap Jabatan Pendidikan Negeri bahawa Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pemerkasaan Pentaksiran Bilik Darjah yang menggunakan pelbagai kaedah meliputi penilaian secara pemerhatian, secara lisan dan secara bertulis. Penambahbaikan strategi penilaian yang boleh dilakukan oleh guru-guru yang mengajar matematik semasa PdP matematik perlulah melibatkan perkara berikut:
nPertimbangan profesional
nPelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)
nPelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah Berasaskan Projek
nPelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah Berasaskan Rakan Sebaya
nKaedah Pentaksiran
nPelaksanaan Ujian Sumatif
PERTIMBANGAN PROFESIONAL
Konsep Pertimbangan Profesional
Berdasarkan kepada KPM (2019), dengan merujuk kepada Buku Panduan PBD Edisi Kedua (2019), penilaian dalam PdP matematik memerlukan pertimbangan yang rasional. Pertimbangan profesional ialah pertimbangan yang dibuat menggunakan pengetahuan profesional terhadap kurikulum yang dihasratkan mencakupi pengetahuan, kemahiran, nilai, bukti pencapaian, strategi pengajaran, kaedah pentaksiran, serta kriteria dan standard yang ditetapkan. Pertimbangan profesional memerlukan guru membuat keputusan secara beretika dan bertanggungjawab mengenai tahap penguasaan murid, berdasarkan analisis dan rumusan maklumat terhadap pembelajaran.
Guru perlu menggunakan pengetahuan, pengalaman, input murid dan mengamalkan tanggungjawab profesional dalam membuat pertimbangan profesional. Guru juga perlu sentiasa mengikuti perkembangan tentang bidang atau disiplin ilmu, pedagogi serta pentaksiran melalui pembacaan dan perbincangan secara profesional dengan rakan pendidik lain untuk meningkatkan kompetensi dalam membuat pertimbangan profesional. Elemen dalam melaksanakan pertimbangan profesional adalah seperti berikut:
(a) Pengetahuan
Guru perlu berpengetahuan luas dalam mata pelajaran yang diajar meliputi ilmu, kandungan, strategi pengajaran serta berkebolehan mentaksir murid (dengan pelbagai kaedah pentaksiran) secara adil, telus dan konsisten.
(b) Tanggungjawab profesional
Guru melaksanakan pentaksiran secara bertanggungjawab dan beretika berdasarkan pengetahuan, input murid serta pengalaman yang ada dengan cekap, adil, telus, sistematik dan holistik.
(c) Input murid
Guru menganalisis dan membuat pertimbangan berdasarkan pemerhatian, perbincangan dua hala, soal jawab, lembaran kerja murid, buku log, portfolio, jurnal harian, kuiz, esei, slaid pembentangan, hasil projek dan lain-lain yang bersesuaian. Guru juga membuat pertimbangan berdasarkan prestasi murid dalam aktiviti PdP, ujian atau latihan yang diberikan.
(d) Pengalaman
Guru menggunakan pengalaman mengajar dalam interaksi dengan murid. Berdasarkan pengalaman, guru dapat mengenal pasti kekuatan dan potensi murid. Walau bagaimanapun, guru harus mentaksir murid secara profesional.
Melaksanakan Pertimbangan Profesional
Pertimbangan profesional merupakan satu proses yang berterusan sepanjang proses PdP. Guru dapat melakukan pertimbangan profesional berdasarkan kekerapan pemerhatian dan interaksi dengan murid pada satu tempoh yang sesuai. Walau bagaimanapun, untuk suatu pertimbangan yang boleh dipercayai, seorang murid harus diberi peluang yang mencukupi bagi menunjukkan apa yang telah dipelajari. Ini bermakna guru harus mengumpul hasil kerja murid yang secukupnya serta melakukan pemerhatian untuk mendapat gambaran yang menyeluruh bagi membantunya membuat pertimbangan terhadap seseorang murid. Ini membolehkan guru membuat justifikasi tentang pertimbangan yang telah dilakukan.Terdapat perkara lain yang perlu diambil kira dalam melaksanakan pertimbangan profesional dalam matematik. Perkara tersebut adalah seperti berikut:
(a) Hasrat kurikulum
Guru perlu memahami objektif kurikulum yang terkandung dalam DSKP mata pelajaran matematik. Kurikulum semua mata pelajaran terdiri daripada pengetahuan, kemahiran dan nilai. Bagi menentukan tahap penguasaan murid dalam matematik, guru hendaklah memahami hasrat KSSR dan juga memahami Standard Kandungan, Standard Pembelajaran serta Standard Prestasi mata pelajaran masing-masing.
(b) Tujuan pentaksiran
Guru perlu menentukan tujuan pentaksiran, mengenal pasti aspek pembelajaran yang perlu ditaksir berdasarkan Standard Prestasi bagi setiap kelompok Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran.
(c) Kaedah pentaksiran
Guru perlu menggunakan pelbagai kaedah pentaksiran meliputi pemerhatian, lisan dan penulisan melalui pelaksanaan PdP dalam bilik darjah. Guru perlu meningkatkan kemahiran membuat pertimbangan dan memberi justifikasi terhadap setiap murid serta sentiasa merekodkan perkembangan pembelajaran murid. Hasil kerja murid merupakan salah satu bukti perkembangan pembelajaran murid.
(d) Suasana Pentaksiran
Guru perlu mewujudkan suasana yang menyeronokkan, tanpa tekanan dan bersahaja dalam persekitaran bilik darjah agar interaksi antara guru dan murid, murid dan murid, serta murid dan bahan pembelajaran menjadi lebih bermakna. Pentaksiran bilik darjah seharusnya berlaku secara autentik dalam situasi PdP dan tidak dalam situasi yang terlalu formal seperti dalam dewan peperiksaan.
(e) Amanah
Guru seharusnya bersikap terbuka dan profesional dalam membuat pertimbangan serta memberi justifikasi terhadap perkembangan dan penguasaan pembelajaran murid. Sikap terbuka dan profesional ini mencerminkan sikap amanah serta memupuk keyakinan pentadbir, guru, murid dan ibu bapa terhadap pertimbangan profesional yang dilakukan.
(f) Peluang
Guru perlu memberi peluang yang adil dan masa yang secukupnya kepada murid untuk menunjukkan apa yang telah dipelajari, termasuklah mempelbagaikan sumber, aktiviti dan kaedah pentaksiran supaya murid mendapat ruang serta peluang untuk mempamerkan keupayaan mereka dalam melaksanakan pelbagai bentuk tugasan. Tidak semua murid berkembang pada kadar yang sama. Terdapat faktor-faktor lain yang mungkin mempengaruhi perkembangan murid seperti faktor latar belakang keluarga, kelengkapan prasarana dalam bilik darjah atau sekolah, dan lain-lain.
Moderasi
Moderasi adalah proses penetapan aspek atau kriteria dalam pentaksiran. Dalam proses moderasi, guru berkongsi pengalaman, pengetahuan, pemahaman kurikulum (Standard Kandungan, Standard Pembelajaran dan Standard Prestasi), strategi pengajaran serta pentaksiran bagi melaksanakan pertimbangan profesional. Proses ini melibatkan membuat keputusan yang konsisten di dalam mentaksir tahap penguasaan murid. Moderasi dilaksanakan oleh guru mata pelajaran yang sama atau dalam Panitia yang sama. Moderasi penting bagi mengurangkan jurang pertimbangan profesional antara seorang guru dengan guru yang lain. Moderasi juga adalah untuk memastikan kesahan dan kesaksamaan dalam pertimbangan profesional dan pentaksiran yang dilakukan.
Tujuan moderasi:
nMemastikan pertimbangan yang dibuat adil, konsisten, sah dan boleh dipercayai.
nMeningkatkan komunikasi profesional dalam kalangan guru.
nMewujudkan pembelajaran profesional dalam kalangan guru.
nMeningkatkan pengajaran dan pembelajaran.
Moderasi melibatkan perbincangan, penyelarasan dan persetujuan sesama rakan sejawat dalam panitia atau mata pelajaran yang sama. Perkara yang dimoderasikan termasuklah aspek:
npenentuan kaedah pentaksiran,
npemilihan instrumen pentaksiran,
nkriteria pertimbangan profesional, serta
npenentuan tahap penguasaan.
Ini dilakukan dengan mengambil kira keperluan dan ketetapan dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) mata pelajaran tersebut. Terdapat beberapa model atau kaedah dalam moderasi. Guru boleh menggunakan mana-mana kaedah, atau boleh menggabungkan beberapa kaedah berikut:
Kalibrasi
Beberapa sampel hasil kerja murid ditaksir secara sendirian oleh guru. Guru kemudian berbincang (moderasi) tentang pertimbangan yang telah dilakukan. Tujuan kalibrasi ialah untuk mendapatkan persetujuan dan pemahaman yang sama terhadap standard atau pertimbangan yang telah dilakukan.
Persidangan
Hasil kerja murid ditaksir secara sendirian oleh guru. Beberapa sampel hasil kerja murid yang mewakili pelbagai tahap penguasaan dipilih secara kolaboratif dan dibincangkan (dilakukan moderasi). Tujuan kaedah ini ialah untuk mendapatkan persetujuan dan pemahaman yang sama dalam pemberian tahap penguasaan tersebut.
Merujuk Pakar
Guru melakukan pentaksiran kepada murid masing-masing. Seterusnya hasil pentaksiran tersebut diserahkan kepada pakar untuk mendapatkan maklum balas sama ada guru telah menterjemah dan menggunakan standard seperti yang dihasratkan. (Klenowski & Adie 2009; Hipkins & Robertson 2011)
PELAKSANAAN PENTAKSIRAN BILIK DARJAH
Pelaksanaan PBD
Proses pelaksanaan dalam penilaian matematik juga seharusnya dengan berpandukan kepada Carta Alir Pelaksanaan PBD yang telah disyorkan oleh KPM (2019) bagi memastikan proses penilaian dalam matematik dapat dilakukan dengan tepat.
Merancang PdP dan Kaedah Pentaksiran
Dalam merancang PdP dan kaedah pentaksiran, guru perlu:
nMeneliti dan memahami kandungan setiap tajuk dalam DSKP.
nMenentukan objektif pembelajaran yang perlu dicapai oleh murid dan yang hendak ditaksir oleh guru. Objektif pembelajaran hendaklah selari dengan Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran yang telah dikenal pasti.
nMengenal pasti kaedah pentaksiran yang sesuai.
i. Kaedah pentaksiran secara pemerhatian, lisan dan penulisan boleh dilaksanakan secara berasingan atau digabungkan. Pentaksiran ini dijalankan secara berterusan untuk mendapatkan maklumat pentaksiran yang lebih jelas dan tepat berkaitan dengan keupayaan, perkembangan dan kemajuan murid.
ii. Penentuan kaedah pentaksiran ini bergantung kepada objektif pembelajaran yang hendak ditaksir dan bersesuaian dengan keupayaan murid.
iii. Instrumen pentaksiran yang digunakan bergantung kepada aktiviti PdP yang dirancang dan kaedah pentaksiran yang dipilih.
Pembinaan Instrumen Pentaksiran
Instrumen yang dibina seharusnya mengukur apa yang hendak diukur. Contoh instrumen yang boleh dibina untuk penilaian dalam PdP matematik ialah:
nKertas soalan ujian
nAnekdot
nSoal-selidik
nLembaran kerja
nRekod berterusan (running record)
nSkala kadar
nSenarai semak
Melaksanakan PdP dan Pentaksiran
Guru boleh melaksanakan pentaksiran secara berterusan dalam PdP matematik dengan menggunakan kaedah (i) lisan, (ii) bertulis dan (iii) pemerhatian.
i) Pentaksiran Secara Lisan
Pentaksiran secara lisan dalam PdP matematik boleh berlaku secara spontan semasa PdP atau secara terancang melalui sesi soal jawab atau kuiz. Pentaksiran secara lisan merupakan satu kaedah pentaksiranyang mudah dan cepat bagi mengesan perkembangan atau penguasaan murid. Pentaksiran secara lisan digunakan untuk mengumpul maklumat semasa berlaku interaksi antara:
nMurid dengan guru
nMurid dengan murid
nMurid dengan bahan pembelajaran
Antara aspek yang boleh ditaksir secara lisan ialah:
nKefahaman konsep
nPengetahuan fakta
nKemahiran mendengar
nPenggunaan bahasa yang tepat
nKefasihan menghafaz
nKecekapan mencongak
nGaya persembahan
nPertuturan dan sikap
Kemahiran lisan bagi matematik boleh ditaksir melalui aktiviti seperti berikut:
nSoal jawab
nPerbincangan
nSoal jawab
nMendengar dan memberi respons secara lisan
Pentaksiran lisan dalam matematik sesuai untuk:
nMendapat maklumat serta-merta tentang pengetahuan dan kefahaman murid.
nMengesan amalan dan sikap murid secara serta-merta
Instrumen pentaksiran secara lisan boleh dipelbagaikan merangkumi soalan dan aktiviti yang memerlukan respons murid dalam bentuk lisan. Dalam menyediakan instrumen guru perlu memastikan:
nSoalan, penyataan, ilustrasi dan bahan ransangan perlu jelas dan mudah difahami.
nAktiviti atau bahan boleh meransang murid mengeluarkan idea.
nPelbagai bentuk soalan seperti soalan bertumpu dan bercapah digunakan untuk meransang murid berfikir dan menaakul.
ii) Pentaksiran Secara Bertulis
Pentaksiran secara bertulis dalam matematik melibatkan aktiviti menyemak dan memeriksa tugasan dan hasil penulisan murid seperti berikut:
nLaporan projek/kerja kursus/folio
nLatihan bertulis
nUjian bertulis
nHuraian atau tafsiran statistik, peta, jadual, graf atau carta
Instrumen dalam pentaksiran secara bertulis digunakan untuk mengesan perkembangan intelek dan kemahiran murid dari aspek:
nMenulis
nMenyusun idea
nMengaplikasi
nMentafsir
nMenilai
nMencipta
iii) Pentaksiran Secara Pemerhatian
Pemerhatian dalam PdP matematik sesuai digunakan untuk mentaksir proses dan hasil kerja murid seperti penghasilan bentuk dan ruang, buku skrap, kraf tangan, atau kerja kursus. Pemerhatian ini membolehkan guru menilai sikap serta penguasaan sesuatu kemahiran. Pemerhatian boleh digunakan untuk mentaksir aspek seperti berikut:
nSikap
nPerlakuan/amalan
nAmali
nKemahiran manipulatif
nKemahiran bersosial
nKemahiran belajar
nKemahiran kinestetik
nKemahiran literasi komputer
nKemahiran mereka cipta
Maklumat daripada pemerhatian boleh membantu guru melengkapkan gambaran mengenai keputusan pentaksiran yang diperoleh melalui kaedah lisan dan penulisan. Hasil pemerhatian membolehkan guru mengenal pasti murid yang berdaya tahan, mahir berkomunikasi, pemikir, kerja sepasukan, bersifat ingin tahu, berprinsip, bermatlamat, penyayang atau prihatin dan patriotik. Instrumen pentaksiran secara pemerhatian adalah seperti senarai semak, skala kadar, anekdot dan rekod berterusan (running record).
Merekod dan Menganalisis Penguasaan Murid
Merekod ialah aktiviti mencatat maklumat secara sistematik berkaitan perkembangan, kebolehan, kemajuan dan penguasaan murid. Maklumat dalam rekod perlu dikemas kini, disimpan dan dijaga dengan baik untuk memudahkan guru membuat rujukan tentang pembelajaran murid. Maklumat yang direkod perlu dianalisis dan ditafsir untuk tujuan tindakan susulan dan pelaporan. Merekod boleh dibuat dalam bentuk berikut:
nMembuat pernyataan
nMenanda dengan menggunakan simbol
nMemberi markah
nMemberi gred
Rekod boleh dilakukan dalam rekod mengajar, buku catatan guru, senarai semak dan templat pelaporan (Excel). Aktiviti merekod dilakukan oleh guru dari semasa ke semasa supaya maklumat menyeluruh tentang penguasaan pembelajaran murid terkumpul dan mudah dirujuk. Maklumat yang dikumpul membolehkan guru membuat pertimbangan profesional bagi menentukan tahap penguasaan murid dalam sesuatu kelompok Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran. Seterusnya guru merancang tindakan susulan berdasarkan kepada tahap penguasaan murid.
Tindakan Susulan
Tindakan susulan boleh dijalankan secara serta-merta atau dirancang. Kemampuan setiap murid untuk memahami atau menguasai pelajaran masing-masing adalah berbeza. Semasa menjalankan pentaksiran guru boleh mengenal pasti murid yang belum atau telah menguasai perkara yang telah dipelajari. Seterusnya guru boleh menjalankan tindakan susulan yang sesuai untuk meningkatkan tahap penguasaan setiap murid.
Dalam mengendalikan tindakan susulan bagi meningkatkan penguasaan murid, guru boleh:
nMenggunakan pelbagai teknik PdP yang berkesan bersesuaian dengan tahap keupayaan murid yang berkenaan.
nMenggunakan bahan PdP yang menarik dan bersesuaian.
nMenggunakan bahasa yang sesuai dengan tahap penguasaan murid
nMemberi perhatian dan bimbingan yang rapi secara individu atau berkumpulan
nMemberi peluang kepada murid untuk mengukuhkan penguasaan dalam pengetahuan, kemahiran dan nilai
Melapor
Pelaporan ialah proses penyampaian maklumat pentaksiran dari semasa ke semasa tentang kemajuan dan pemerolehan pengetahuan, penguasaan kemahiran, penerapan nilai, pembangunan sikap dan pencapaian murid yang dikemukakan kepada pihak berkepentingan terutamanya ibu bapa. Melalui pelaporan, ibu bapa dapat memantau perkembangan pembelajaran dan tahap penguasaan anak mereka.
Perkembangan dan kemajuan murid boleh dilaporkan secara lisan atau bertulis merangkumi perkara berikut:
nTahap penguasaan murid
nPenyataan tentang minat, sikap dan perlakuan murid
nCadangan tindakan susulan untuk meningkatkan potensi murid oleh guru mata pelajaran dan guru kelas
Pelaporan ini dilakukan dua kali setahun dan dijana melalui laporan individu dalam templat MS Excel yang disediakan setelah guru menetapkan Tahap Penguasaan murid dalam Rekod Prestasi Murid.
Pelaporan perlu dilakukan bagi membolehkan murid, pihak sekolah dan ibu bapa mengambil tindakan susulan yang sewajarnya. Pelaporan ini juga membantu guru untuk mengenal pasti aspek kekuatan dan kelemahan seseorang murid serta menambah baik PdP. Pelaporan ini bukan bertujuan untuk membuat perbandingan antara seorang murid dengan murid yang lain.
Penjaminan Kualiti PBD di Peringkat Sekolah
Penjaminan kualiti merupakan piawaian untuk menentukan kualiti pelaksanaan PBD mengikut garis panduan yang ditetapkan. Kualiti hendaklah menjadi keutamaan dalam semua aspek dan peringkat pentaksiran. Pentaksiran yang berkualiti akan menghasilkan maklumat yang tepat dan menunjukkan perkembangan pembelajaran dan tahap penguasaan murid. Maklumat yang tepat boleh membantu guru dan juga murid melakukan perubahan yang sewajarnya bagi tujuan meningkatkan pengajaran dan pembelajaran.
Penjaminan kualiti PBD di sekolah diketuai oleh Pengetua/Guru Besar (PGB) untuk memastikan kualiti dan kelancaran pelaksanaan pentaksiran dalam bilik darjah dengan melibatkan pelbagai pihak seperti:
nPengetua/Guru Besar (PGB)
nPenolong Kanan (PK), PK Akademik, PK Hal Ehwal Murid,
nPK Kokurikulum , PK Pendidikan Khas, Penolong Kanan Petang
nGuru Kanan Mata Pelajaran (GKMP)/Ketua Bidang (KB)
nKetua Panitia (KP)
nGuru Mata Pelajaran (GMP)
nGuru yang dilantik oleh PGB/Jawatankuasa Kurikulum sekolah/ Jawatankuasa PBS sekolah
PELAKSANAAN PENTAKSIRAN BILIK DARJAH BERASAKAN PROJEK
Menurut KPM (2019), pelaksanaan projek merupakan satu proses pembelajaran yang berpusatkan murid di mana pelbagai disiplin ilmu boleh diintegrasikan secara sistematik dan terancang. Aktiviti kerja projek dilakukan selepas murid telah didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan. Pentaksiran secara berterusan perlu dijalankan semasa pelaksanaan projek dan ini dikenali sebagai Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Berasaskan Projek. Pelaksanaan kerja projek memberikan murid ruang untuk meneroka dan menyelesaikan sesuatu isu atau masalah secara praktikal dengan menjalankan inkuiri, perancangan, pelaksanaan dan refleksi. Ini menggalakkan pembelajaran aktif dan pengaplikasian KBAT. Di samping itu, kemahiran berkomunikasi murid juga dapat dikembangkan dan secara tidak langsung nilai-nilai murni murid diterapkan semasa proses pelaksanaan projek. Melalui kerja projek, pemerolehan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan penerapan nilai murid dapat dioptimumkan.
Matlamat Melaksanakan Projek
Matlamat pelaksanaan projek dalam KSSR adalah untuk menggalakkan dan membolehkan murid mendapat pengetahuan dan kemahiran baharu serta mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk menyelesaikan masalah dalam proses pembelajaran secara aktif.
Langkah Menjalankan Projek
Proses Pelaksanaan PBD Berasaskan Projek
a. Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum bersama-sama Pentadbir Sekolah (Pengetua/Guru Besar dan Penolong Kanan/Guru Kanan Mata Pelajaran)
b. Perbincangan antara Setiausaha PBD dengan Guru Kanan Mata Pelajaran dan Ketua Panitia
c. Perbincangan antara Ketua Panitia dengan Guru Penyelia Projek PBD
d. Makluman kepada murid dan ibu bapa/penjaga yang terlibat
e. Perjumpaan Guru Penyelia PBD Projek dengan Murid
f. Murid memulakan kerja projek
g. Penyeliaan dan Bimbingan Guru Penyelia Projek PBD dengan Murid
h. Pentaksiran Kerja Projek
i. Pelaporan dan Showcase (Persembahan) Kerja Projek PBD
Jangka Masa untuk Menyempurnakan Projek
Tempoh masa pelaksanaan projek adalah sepanjang tahun. Perbincangan bersama-sama guru, pemilihan tajuk projek, bentuk kumpulan boleh dijalankan pada awal tahun.
Etika dalam Melaksanakan Projek
nMurid harus memilih tajuk yang sesuai dan mengambil kira sensitiviti sekolah dan komuniti setempat.
nGuru harus memastikan bahawa produk murid tersebut adalah hasil kerja murid sendiri.
nMurid harus menyatakan sumber rujukan semasa mendapatkan maklumat daripada buku, majalah atau internet.
Rubrik Pentaksiran Berasaskan Projek
Rubrik merupakan alat penilaian subjektif yang digunakan untuk menilai prestasi dan tahap peningkatan seseorang murid. Rubrik menggambarkan kriteria yang konsisten dan membolehkan tahap penguasaan murid dinilai dengan lebih spesifik dan tepat dari pelbagai dimensi. Rubrik boleh digunakan dalam pembelajaran, contohnya murid boleh menilai prestasi mereka pada projek, esei dan tugasan.
Rubrik Pentaksiran Berasaskan Projek merupakan satu set pemarkahan atau tahap penguasaan untuk mentaksir hasil kerja dan tugasan murid. Rubrik tersebut terdiri daripada enam dimensi iaitu:
nMengumpul Maklumat
nMerancang
nMengaplikasi
nMembuat Refleksi
nBerkomunikasi
nEtika dan Kerohanian
Setelah guru mentaksir murid berdasarkan enam dimensi ini, guru akan menetapkan tahap penguasaan keseluruhan berdasarkan pertimbangan profesional guru.
KAEDAH PENTAKSIRAN
Dalam pelaksanaan PBD matematik, terlebih dahulu guru perlu menentukan hasil pembelajaran yang akan dicapai oleh murid masing-masing berdasarkan objektif pembelajaran yang ditentukan dari Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran.
Terdapat tiga kaedah pentaksiran yang boleh dilaksanakan terhadap PdP matematik iaitu:
(i) Pemerhatian
(ii) Lisan
(iii) Penulisan
Pentaksiran menggunakan ketiga-tiga kaedah tersebut boleh dilaksanakan secara berasingan atau digabungkan untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan jelas tentang kebolehan dan tahap penguasaan murid. Guru bebas memilih dan menentukan kaedah serta instrumen pentaksiran berdasarkan kreativiti, situasi dan hasil pembelajaran yang hendak dicapai.
Kaedah Pentaksiran Secara Pemerhatian
Pemerhatian dilaksanakan sepanjang proses PdP. Instrumen pentaksiran yang boleh digunakan semasa membuat pemerhatian ialah seperti berikut:
nsenarai semak,
nanekdot, atau
nrekod berterusan (running record)
Kaedah Pentaksiran Secara Lisan
Pentaksiran secara lisan digunakan untuk mengumpul maklumat semasa berlaku interaksi antara
i. murid dengan guru,
ii. murid dengan murid, dan
iii. murid dengan pembelajaran
nPentaksiran Secara Lisan antara Murid dengan Guru
Guru boleh berinteraksi dengan murid melalui penyoalan dan membuat penilaian secara teliti dengan memberi komen kepada respons murid untuk menggalakkan pembelajaran yang berkesan. Respons guru boleh pelbagai. Guru harus memberi motivasi untuk membantu murid menambah baik jawapan mereka.
nPentaksiran Secara Lisan Antara Murid Dengan Murid (Pentaksiran Rakan Sebaya)
Pentaksiran berlaku semasa penerangan murid kepada rakan-rakannya dalam aktiviti berkumpulan. Murid juga boleh membuat penilaian kendiri semasa berbincang dengan rakan-rakannya.
nPentaksiran Secara Lisan Antara Murid Dengan Bahan Pembelajaran
Guru membuat catatan pentaksiran berdasarkan aktiviti tersebut dengan menggunakan penyataan Standard Prestasi mengikut DSKP mata pelajaran matematik.
Kaedah Pentaksiran Secara Penulisan
Kaedah ini dilaksanakan untuk mengesan kebolehan murid dalam menguasai kemahiran dan perkembangan murid yang melibatkan aktiviti menyemak dan memeriksa hasil tugasan murid dan juga pentaksiran kendiri.
Contoh: Lembaran Kerja (Soalan Latihan)
Guru dapat mentaksir pencapaian murid melalui latihan yang dibuat oleh murid. Susun semula dan menulis nombor mengikut tertib menaik dan menurun. Guru menyediakan lembaran latihan susun nombor untuk disusun dan diisi oleh murid
Contoh: Lembaran Kerja (Bentuk Jadual)
Guru dapat mengesan kefahaman murid tentang kandungan pembelajaran selepas PdP dijalankan. Contoh: jadual nilai tempat.
PENTAKSIRAN RAKAN SEBAYA
Contoh pentaksiran rakan sebaya yang boleh dilakukan:
i. Menyemak kerja murid lain selaras dengan kriteria tertentu, contohnya bertukar-tukar buku latihan, lembaran kerja atau kertas jawapan ujian dalam bilik darjah.
ii. Perbincangan dalam kumpulan secara formal berdasarkan tugasan yang dilakukan dalam bilik darjah.
iii. Memeriksa dan memberi skor contoh kerja terdahulu, contohnya mentaksir contoh kerja yang baik dan tidak baik serta dapat menyatakan sebab kerja tersebut baik atau tidak baik.
iv. Perbincangan dan maklum balas secara formal dan tidak formal.
v. Kerja berkumpulan untuk menggalakkan komunikasi, kolaboratif, kerja berpasukan dan pentaksiran sesama murid. Contohnya pembelajaran berasaskan projek atau lain-lain aktiviti berkumpulan. Guru boleh menyediakan senarai semak, skala kadar atau lain-lain instrumen yang sesuai semasa pentaksiran rakan sebaya. Instrumen yang digunakan ini bergantung kepada aktiviti pentaksiran yang dijalankan.
PELAKSANAAN UJIAN SUMATIF
Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan ujian sumatif, beberapa langkah di bawah perlu diberikan penekanan (KPM, 2016):
a) Membentuk Jadual Penentuan Ujian (JPU)
Penyediaan jadual penentuan ujian atau jadual spesifikasi ujian ini merangkumi semua tajuk dan topik pembelajaran, masa pengajaran dan pembelajaran dan jumlah dan aras soalan. JPU yang lengkap ini membantu memudahkan guru membina soalan yang lengkap dan mudah untuk memastikan tiada topik pembelajaran yang tertinggal untuk diuji.
b) Membina soalan
Pembinaan soalan ujian ini hendaklah berdasarkan JPU yang telah dibina. Soalan hendaklah menguji hasil dan objektif pembelajaran sesuai dengan kehendak asal pelaksanaan ujian ini dibuat. Pembinaan soalan hendaklah mengandungi aras dari mudah ke sukar berdasarkan nisbah yang tepat. Ini bagi memberi peluang kepada murid yang lemah untuk turut mendapat markah dan membantu merangsang pemikiran murid yang bijak untuk menjawab soalan yang sukar. Arahan dan kehendak soalan juga hendaklah dinyatakan dengan jelas pada kertas soalan.
c) Mengumpul soalan secara sistematik
Soalan-soalan yang dibina biasanya terdiri daripada soalan berbentuk objektif dan subjektif. Oleh itu, kepelbagaian bentuk soalan ini juga hendaklah disusun dengan teratur dan sistematik dan diasingkan mengikut bentuknya. Soalan hendaklah disusun mengikut topik awal kepada seterusnya mengikut JPU.
d) Menguji soalan melalui kajian rintis
Soalan yang telah siap dibina kemudiannya akan diuji kepada beberapa orang sampel murid bagi melihat kesesuaian dan memperbaiki kelemahan soalan yang didapati ada bagi memastikan kesahan ujian adalah tinggi.
e) Menyiapkan skema pemarkahan
Penyediaan skema jawapan ini adalah bagi memastikan skrip jawapan adalah selaras bagi ujian berpusat yang akan diperiksa oleh bukan hanya seorang guru. Ini bagi memastikan tidak berlaku diskriminasi dan menjadi panduan kepada pemeriksa dalam memeriksa jawapan murid.
Selepas pelaksanaan dan keputusan ujian dikeluarkan, tindakan yang perlu dan boleh diambil adalah menempatkan murid mengikut kumpulan yang sesuai, memberi sijil dan gred mengikut tahap pemcapaian mereka. Sekaligus, para guru dapat membuat refleksi terhadap keberkesanan sesebuah kurikulum yang dilaksanakan itu.
Selain itu, penilaian dalam matematik juga adalah seperti yang berikut:
i) Penilaian Formatif
Dijalankan secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaram,untuk menilai keberkesanan pengajaran guru dan pembelajaran pelajar bagi setiap tajuk yang diajar. Maklumat yang diperoleh daripada penilaian formatif dapat memberi maklum balas tentang sejauh mana sesuatu hasil pembelajaran telah dikuasai. Langkah ini dapat membolehkan guru untuk mengetahui kelemahan dan kekuatan serta potensi murid tersebut untuk mengambil tindakan yang selanjutnya. Pada masa yang sama dapat melihat tahap kemajuan murid dalam pelbagai aspek termasuk aspek-aspek yang tidak dapat dinilai secara berpusat. Contoh ujian formatif ialah soal jawab, latihan yang diberikan guru dan ujian mingguan.
Berikut adalah prosedur pelaksanaan penilaian formatif:
1) Menentukan tajuk pengajaran - Guru perlu menentukan tajuk-tajuk pengajaran yang perlu dihabiskan dalam satu tahun persekolahan.Guru menyusun tajuk-tajuk ini mengikut peringkat kesukaran. Sekiranya sesuatu tajuk itu mempunyai cakupan yang luas, maka ia perlu dipecahkan kepada beberapa tajuk kecil supaya pelajar-pelajar dapat menguasai semua tajuk kecil terlebih dahulu, sebelum meneruskan pengajaran ke tajuk lain.Ujian formatif untuk menilai penguasaan pelajar bagi tajuk yang telah diajar.
2) Menentukan aspek dan tahap penguasaan - Guru perlu menentukan aspek-aspek tertentu bagi setiap tajuk pengajaran yang perlu dikuasai pelajar.Setelah aspek-aspek berkenaan ditentukan, maka guru perlu pula menentukan tahap penguasaan pelajar terhadap aspek-aspek yang ditentukan itu.
3) Menghubungkaitkan elemen-elemen dalam tajuk - Guru perlu menyusun elemen-elemen yang terdapat dalam setiap tajuk pengajaran pada peringkat perlakuan berdasarkan taksonomi objektif pengajaran. Setelah penyusunan elemen mengikut tahap perlakuan dibuat, guru seterusnya mengaitkan semua elemen tersebut agar ia saling bertautan dan tidak terpisah.
4) Membina soalan ujian - Selepas menghubungkaitkan elemen-elemen berkenaan, misalnya, ada sepuluh elemen dalam sesuatu tajuk, maka setiap elemen berkenaan seharusnya diuji kepada pelajar sekurang-kurangnya satu soalan. Soalan ujian yang sesuai perlu dibina untuk mengukur penguasaan pelajar terhadap elemen-elemen ini.
5) Mencadangkan tindakan susulan - Selepas ujian dibuat, tindakan susulan perlu dilaksanakan berdasarkan keputusan ujian ini. Misalnya, jika pelajar-pelajar masih lemah dalam sesuatu tajuk, sebagai tindakan susulan, guru perlu mengulang semula tajuk berkenaan, atau mengubah pendekatan pengajaran agar pelajar dapat menguasai tajuk tersebut
ii) Penilaian Rujukan Kriteria (PRK)
Merupakan ujian yang membandingkan pencapaian seorang pelajar dengan kriteria tertentu yang telah ditetapkan. Yang mana telah ada kriteria ataupun standard yang boleh dirujuk bagi setiap skor seorang pelajar. Sebagai contohnya ialah MUET, EPT, IELTS,TOEFL. Menurut Glaser (1973), kriteria yang digunakan tidak bermaksud kemahiran tertinggi yang perlu dikuasai pelajar, tetapi lebih kepada kriteria yang ditetapkan oleh guru, iaitu pada aras mana sepatutnya pelajar perlu capai. Ujian ini juga adalah lebih terperinci/mendalam dan meliputi kandungan pelajaran tertentu sahaja. Maklumat yang terperinci ini boleh membantu guru mengenal pasti kelemahan setiap orang pelajarnya bagi tajuk pengajaran tertentu. Daripada maklumat ini, guru boleh merancang dan melaksanakan program pemulihan untuk pelajar-pelajarnya atau memperbaiki/ mengubah kaedah pengajaran supaya pelajar mudah menguasai/mencapai sesuatu objektif pengajaran.
iii) Penilaian Sumatif
Dikaitkan dengan penilaian pada akhir tahun atau pada akhir semester. Penilaian ini memberikan nilai yang membezakan pencapaian seorang murid dengan murid lain dan seringkali digunakan untuk membuat pemilihan. Penilaian secara berpusat iaitu UPSR, PMR, SPM dan STPM biasanya dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Keputusan penilaian secara berpusat dapat memberi maklumat tentang pencapaian murid di seluruh negara.
👍Bukanlah untuk membantu pelajar meningkatkan pencapaian, tetapi untuk memberikan gred kepada mereka.
👍Petunjuk, sama ada pelajar akan berjaya mengikuti sesuatu mata pelajaran baru atau tidak.
Berikut merupakan langkah-langkah yang harus diberi penekanan semasa menggubal ujian sumatif dalam memastikan keberkesanan penilaian sumatif.
1) Membentuk Jadual Penentuan Ujian (JPU) - Mengandungi maklumat yang lengkap berkaitan tajuk pengajaran, objektif pengajaran dan bilangan soalan. Jadual ini juga dapat memastikan kesahan ujian dari segi cakupan sukatan pelajaran dan objektif pengajaran yang ingin disampaikan
2) Membina soalan - Soalan-soalan hendaklah dibina berpandukan kepada JPU, dan haruslah menguji objektif pengajaran yang telah ditetapkan. Kertas soalan perlu mengandungi arahan yang jelas tentang bilangan soalan yang perlu dijawab.
3) Mengumpul soalan secara sistematik - Soalan perlu dikumpul mengikut bentuknya, misalnya soalan objektif diasingkan daripada soalan mengisi tempat kosong, atau esei berjawapan pendek. Soalan ini juga boleh disusun mengikut tajuk atau kesukarannya.
4) Menguji soalan melalui kajian rintis - Mengkaji kesesuaian soalan kepada sampel pelajar dan membaiki soalan-soalan bagi memastikan ujian mempunyai kesahan yang tinggi. Selain itu, aras kesukaran dan daya diskriminasi soalan perlu juga dikira.
5) Menyiapkan skema pemarkahan - Skema ini terdiri daripada jawapan kepada soalan ujian dan markahnya. Ia menjadi panduan semasa memeriksa jawapan, yang dapat menyelaras permarkahan supaya tidak berlaku bias dalam pemberian markah.
iv) Penilaian Rujukan Norma (PRN)
Merupakan Ujian yang membandingkan prestasi/pencapaian seseorang pelajar dengan pelajar lain berdasarkan dimensi / sifat yang diuji dan biasanya melibatkan sukatan pelajaran yang luas. Sebagai contohnya,skor seseorang pelajar dirujuk kepada skor norma iaitu seperti UPSR,PMR dan SPM. Contoh soalan yang wujud dalam penilaian rujukan norma ini adalah, siapakah antara pelajar pelajar tersebut yang lebih baik?.
👉Penempatan
👉Penggredan
JENIS-JENIS UJIAN DALAM PENILAIAN
Menurut Cornbach(1970), ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang indivdiu dan menjelaskannya dengan bantuan skala bernombor, atau satu sistem berkategori.
a) Ujian pencapaian ialah ujian yang digubal oleh guru untuk mengukur sejauh mana seseorang pelajar dapat menguasai tajuk-tajuk yang telah diajar oleh guru, yang meliputi pengetahuan, kefahaman dan aplikasi. Ujian ini dapat menentukan kesediaan pelajar untuk memulakan tajuk baru dan mengenal pasti masalah yang dihadapi pelajar bagi tajuk-tajuk yang diuji. Ujian ini dapat dibahagikan kepada 2 iaitu :
✋Ujian rujukan norma dibina untuk membandingkan pencapaian seseorang pelajar dengan pelajar-pelajar lain, yang biasanya meliputi sukatan pelajaran yang lebih luas, seperti UPSR. Bagi memastikan tujuan ini tercapai, tahap kesukaran soalan perlu dikawal. Sekiranya soalan terlalu mudah, maka semua pelajar akan dapat menjawabnya, sebaliknya jika soalan itu terlalu susah, maka semua pelajar tidak dapat menjawabnya. Seterusnya, jika soalan itu sederhana susah, sebahagian pelajar lemah dan sebahagian besar pelajar pandai dapat menjawabnya. Justeru, ketiga-tiga keadaan tersebut tidak dapat menghasilkan perbezaan pencapaian yang maksimum. Jadi, lazimnya, kesukaran ujian adalah berdasarkan kepada 25% soalan mudah, 50% soalan sederhana dan 25% soalan susah.
✋Ujian rujukan kriteria dibina untuk membandingkan pencapaian pelajar dengan beberapa kriteria tertentu, seperti kemahiran menyelesaikan masalah matematik bagi tajuk pecahan.
Pada peringkat bilik darjah/sekolah, ujian pencapaian biasanya dibina oleh guru/kumpulan guru. Contoh ujian adalah ujian diagnosis, ujian bulanan dan ujian penggal. Manakala pada peringkat kebangsaan, ujian ini disediakan oleh institusi tertentu, seperti Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) atau Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). Contoh Ujian adalah seperti UPSR,PMR,SPM dan STPM.
b) Ujian Kecerdasan
Ujian yang juga dikenali sebagai ujian mental, ialah ujian yang digunakan untuk mengukur kecerdasan mental seseorang individu atau perbezaan antara individu. Ujian kecerdasan memberikan bukti, secara tidak langsung, tentang potensi yang ditunjukkan oleh murid-murid berdasarkan prestasi mereka dalam ujian tersebut.Contoh ujian kecerdasan mental (Binet Scale, Wechsler Intelligence Scale for Children (WISC), Raven Progressive Matrices (RPM).
c) Ujian Prestasi
Ujian prestasi ialah ujian yang digunakan untuk mengukur keupayaan/ kecekapan pelajar melakukan sesuatu tugas yang melibatkan manipulasi objek yang konkrit dan ia memerlukan para pelajar membuat beberapa tugasan lain sebagai ukuran tambahan. Contohnya ialah ujian pada peringkat prasekolah yang meminta pelajar membina semula gambar dengan lengkap daripada potongan-potongan gambar yang diberi atau mereka bentuk geometri daripada blok-blok yang diberikan.
d) Ujian Diagnostik
Ujian diagnostik ialah ujian yang digunakan untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan juga untuk menentukan punca- punca yang menyebabkan masalah itu berlaku. Apabila sesuatu sebab dapat dikenal pasti, maka tindakan lanjutan untuk mengatasi masalah ini dapat dirancang dan dilaksanakan oleh guru. Tertumpu kepada tajuk tertentu dan itemnya dibina secara terperinci supaya masalah yang dihadapi setiap pelajar dapat dikenal pasti bagi tajuk tersebut. Contoh ujian diagnostik ialah ujian bacaan untuk mengenal pasti masalah pelajar mengenal dan menyebut huruf. Ciri-ciri Ujian diagnostik adalah tidak memberikan skor atau gred kepada pelajar, Ujian ini dilaksanakan semasa pengajaran dan pembelajaran berjalan, laporan ujian dibuat dalam bentuk profil perkara yang belum dikuasai pelajar.
👍Ujian ini penting kerana ia dapat mengenal pasti kelemahan murid dan ini memberikan peluang kepada guru untuk menjalankan langkah pemulihan kepada murid-murid berkenaan.
e) Ujian Aptitud
Ujian untuk mendapatkan ukuran bagi meramalkan kejayaan atau sebaliknya bagi seseorang pelajar pada masa depan. Contoh Ujian ialah Ujian Aptitud Sekolah Rendah (UASR), Ujian percubaan SPM
f) Ujian Formatif
Dibuat secara berterusan sepanjang proses P&P, bagi setiap unit/topik yang diajar. Bertujuan mengukur penguasaan pelajar terhadap unit/topik tertentu dan menilai keberkesanan pengajaran guru. Biasanya merupakan ujian rujukan kriteria. Contohnya kuiz, ujian unit/topik.
g) Ujian Sumatif
Dibuat pada akhir pengajaran (akhir penggal/tahun).Bertujuan menilai pencapaian akhir pelajar (memberikan gred) dan menilai keberkesanan pengajaran. Biasanya merupakan ujian rujukan norma. Pencapaian sumatif biasa digunakan sebagai asas pemilihan dan penempatan.Contohnya peperiksaan akhir penggal/semester, peperiksaan kebangsaan (UPSR, PMR, SPM, SPMV, STAM, STPM)
h) Ujian Gerak Balas
Melibatkan pengelasan ujian berdasarkan kepada gerak balas/respons pelajar. Dibahagikan kepada ujian jawapan dipilih dan ujian jawapan dibina.
i) Ujian Objektif
Ujian yang memerlukan pelajar memberi jawapan dengan menanda jawapan yang tepat, melengkapkan ayat dengan perkataan sesuai, atau memadankan perkara yang berkaitan. Tugasan item yang terkawal dan membataskan respons calon. Jawapan dapat diperiksa dengan mudah dan tepat dan jawapan adalah sama oleh semua pemeriksa.
j) Ujian Subjektif
Membolehkan pelajar berpeluang memberi jawapan /gerak balas/respons dalam tulisan dengan perkataan-perkataan sendiri. Jenis respons terbahagi kepada respons terhad yang boleh dijawab pendek & ringkas serta telah dinyatakan dengan jelas dalam soalan dan respon bebas yang mana pelajar bebas menjawab dengan stail sendiri, menunjukkan kebolehan mensintesis dan menilai.
k) Ujian Daya / Kuasa
Ujian untuk mengukur tahap pengetahuan dan pemahaman yang diperoleh dalam satu-satu bidang. Memberi tumpuan kepada kualiti respons/jawapan pelajar. Masa untuk ujian panjang untuk membolehkan pelajar memberikan respons terbaik untuk semua soalan.
l) Ujian Kepantasan
Ujian untuk mengukur kepantasan pelajar dalam melakukan tugasan atau menjawab soalan. Soalan agak senang dan seragam daripada segi kesukarannya. Masa yang diberi untuk ujian juga adalah terhad.
0 comments:
Post a Comment