Dalam merancang PdP dan kaedah pentaksiran, guru perlu:
nMeneliti dan memahami kandungan setiap tajuk dalam DSKP.
nMenentukan objektif pembelajaran yang perlu dicapai oleh murid dan yang hendak ditaksir oleh guru. Objektif pembelajaran hendaklah selari dengan Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran yang telah dikenal pasti.
nMengenal pasti kaedah pentaksiran yang sesuai.
i. Kaedah pentaksiran secara pemerhatian, lisan dan penulisan boleh dilaksanakan secara berasingan atau digabungkan. Pentaksiran ini dijalankan secara berterusan untuk mendapatkan maklumat pentaksiran yang lebih jelas dan tepat berkaitan dengan keupayaan, perkembangan dan kemajuan murid.
ii. Penentuan kaedah pentaksiran ini bergantung kepada objektif pembelajaran yang hendak ditaksir dan bersesuaian dengan keupayaan murid.
iii. Instrumen pentaksiran yang digunakan bergantung kepada aktiviti PdP yang dirancang dan kaedah pentaksiran yang dipilih.
Pembinaan Instrumen Pentaksiran
Instrumen yang dibina seharusnya mengukur apa yang hendak diukur. Contoh instrumen yang boleh dibina untuk penilaian dalam PdP matematik ialah:
nKertas soalan ujian
nAnekdot
nSoal-selidik
nLembaran kerja
nRekod berterusan (running record)
nSkala kadar
nSenarai semak
Melaksanakan PdP dan Pentaksiran
Guru boleh melaksanakan pentaksiran secara berterusan dalam PdP matematik dengan menggunakan kaedah (i) lisan, (ii) bertulis dan (iii) pemerhatian.
i) Pentaksiran Secara Lisan
Pentaksiran secara lisan dalam PdP matematik boleh berlaku secara spontan semasa PdP atau secara terancang melalui sesi soal jawab atau kuiz. Pentaksiran secara lisan merupakan satu kaedah pentaksiranyang mudah dan cepat bagi mengesan perkembangan atau penguasaan murid. Pentaksiran secara lisan digunakan untuk mengumpul maklumat semasa berlaku interaksi antara:
nMurid dengan guru
nMurid dengan murid
nMurid dengan bahan pembelajaran
Antara aspek yang boleh ditaksir secara lisan ialah:
nKefahaman konsep
nPengetahuan fakta
nKemahiran mendengar
nPenggunaan bahasa yang tepat
nKefasihan menghafaz
nKecekapan mencongak
nGaya persembahan
nPertuturan dan sikap
Kemahiran lisan bagi matematik boleh ditaksir melalui aktiviti seperti berikut:
nSoal jawab
nPerbincangan
nSoal jawab
nMendengar dan memberi respons secara lisan
Pentaksiran lisan dalam matematik sesuai untuk:
nMendapat maklumat serta-merta tentang pengetahuan dan kefahaman murid.
nMengesan amalan dan sikap murid secara serta-merta
Instrumen pentaksiran secara lisan boleh dipelbagaikan merangkumi soalan dan aktiviti yang memerlukan respons murid dalam bentuk lisan. Dalam menyediakan instrumen guru perlu memastikan:
nSoalan, penyataan, ilustrasi dan bahan ransangan perlu jelas dan mudah difahami.
nAktiviti atau bahan boleh meransang murid mengeluarkan idea.
nPelbagai bentuk soalan seperti soalan bertumpu dan bercapah digunakan untuk meransang murid berfikir dan menaakul.
ii) Pentaksiran Secara Bertulis
Pentaksiran secara bertulis dalam matematik melibatkan aktiviti menyemak dan memeriksa tugasan dan hasil penulisan murid seperti berikut:
nLaporan projek/kerja kursus/folio
nLatihan bertulis
nUjian bertulis
nHuraian atau tafsiran statistik, peta, jadual, graf atau carta
Instrumen dalam pentaksiran secara bertulis digunakan untuk mengesan perkembangan intelek dan kemahiran murid dari aspek:
nMenulis
nMenyusun idea
nMengaplikasi
nMentafsir
nMenilai
nMencipta
iii) Pentaksiran Secara Pemerhatian
Pemerhatian dalam PdP matematik sesuai digunakan untuk mentaksir proses dan hasil kerja murid seperti penghasilan bentuk dan ruang, buku skrap, kraf tangan, atau kerja kursus. Pemerhatian ini membolehkan guru menilai sikap serta penguasaan sesuatu kemahiran. Pemerhatian boleh digunakan untuk mentaksir aspek seperti berikut:
nSikap
nPerlakuan/amalan
nAmali
nKemahiran manipulatif
nKemahiran bersosial
nKemahiran belajar
nKemahiran kinestetik
nKemahiran literasi komputer
nKemahiran mereka cipta
Maklumat daripada pemerhatian boleh membantu guru melengkapkan gambaran mengenai keputusan pentaksiran yang diperoleh melalui kaedah lisan dan penulisan. Hasil pemerhatian membolehkan guru mengenal pasti murid yang berdaya tahan, mahir berkomunikasi, pemikir, kerja sepasukan, bersifat ingin tahu, berprinsip, bermatlamat, penyayang atau prihatin dan patriotik. Instrumen pentaksiran secara pemerhatian adalah seperti senarai semak, skala kadar, anekdot dan rekod berterusan (running record).
Merekod dan Menganalisis Penguasaan Murid
Merekod ialah aktiviti mencatat maklumat secara sistematik berkaitan perkembangan, kebolehan, kemajuan dan penguasaan murid. Maklumat dalam rekod perlu dikemas kini, disimpan dan dijaga dengan baik untuk memudahkan guru membuat rujukan tentang pembelajaran murid. Maklumat yang direkod perlu dianalisis dan ditafsir untuk tujuan tindakan susulan dan pelaporan. Merekod boleh dibuat dalam bentuk berikut:
nMembuat pernyataan
nMenanda dengan menggunakan simbol
nMemberi markah
nMemberi gred
Rekod boleh dilakukan dalam rekod mengajar, buku catatan guru, senarai semak dan templat pelaporan (Excel). Aktiviti merekod dilakukan oleh guru dari semasa ke semasa supaya maklumat menyeluruh tentang penguasaan pembelajaran murid terkumpul dan mudah dirujuk. Maklumat yang dikumpul membolehkan guru membuat pertimbangan profesional bagi menentukan tahap penguasaan murid dalam sesuatu kelompok Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran. Seterusnya guru merancang tindakan susulan berdasarkan kepada tahap penguasaan murid.
Tindakan Susulan
Tindakan susulan boleh dijalankan secara serta-merta atau dirancang. Kemampuan setiap murid untuk memahami atau menguasai pelajaran masing-masing adalah berbeza. Semasa menjalankan pentaksiran guru boleh mengenal pasti murid yang belum atau telah menguasai perkara yang telah dipelajari. Seterusnya guru boleh menjalankan tindakan susulan yang sesuai untuk meningkatkan tahap penguasaan setiap murid.
Dalam mengendalikan tindakan susulan bagi meningkatkan penguasaan murid, guru boleh:
nMenggunakan pelbagai teknik PdP yang berkesan bersesuaian dengan tahap keupayaan murid yang berkenaan.
nMenggunakan bahan PdP yang menarik dan bersesuaian.
nMenggunakan bahasa yang sesuai dengan tahap penguasaan murid
nMemberi perhatian dan bimbingan yang rapi secara individu atau berkumpulan
nMemberi peluang kepada murid untuk mengukuhkan penguasaan dalam pengetahuan, kemahiran dan nilai
Melapor
Pelaporan ialah proses penyampaian maklumat pentaksiran dari semasa ke semasa tentang kemajuan dan pemerolehan pengetahuan, penguasaan kemahiran, penerapan nilai, pembangunan sikap dan pencapaian murid yang dikemukakan kepada pihak berkepentingan terutamanya ibu bapa. Melalui pelaporan, ibu bapa dapat memantau perkembangan pembelajaran dan tahap penguasaan anak mereka.
Perkembangan dan kemajuan murid boleh dilaporkan secara lisan atau bertulis merangkumi perkara berikut:
nTahap penguasaan murid
nPenyataan tentang minat, sikap dan perlakuan murid
nCadangan tindakan susulan untuk meningkatkan potensi murid oleh guru mata pelajaran dan guru kelas
Pelaporan ini dilakukan dua kali setahun dan dijana melalui laporan individu dalam templat MS Excel yang disediakan setelah guru menetapkan Tahap Penguasaan murid dalam Rekod Prestasi Murid.
Pelaporan perlu dilakukan bagi membolehkan murid, pihak sekolah dan ibu bapa mengambil tindakan susulan yang sewajarnya. Pelaporan ini juga membantu guru untuk mengenal pasti aspek kekuatan dan kelemahan seseorang murid serta menambah baik PdP. Pelaporan ini bukan bertujuan untuk membuat perbandingan antara seorang murid dengan murid yang lain.
Penjaminan Kualiti PBD di Peringkat Sekolah
Penjaminan kualiti merupakan piawaian untuk menentukan kualiti pelaksanaan PBD mengikut garis panduan yang ditetapkan. Kualiti hendaklah menjadi keutamaan dalam semua aspek dan peringkat pentaksiran. Pentaksiran yang berkualiti akan menghasilkan maklumat yang tepat dan menunjukkan perkembangan pembelajaran dan tahap penguasaan murid. Maklumat yang tepat boleh membantu guru dan juga murid melakukan perubahan yang sewajarnya bagi tujuan meningkatkan pengajaran dan pembelajaran.
Penjaminan kualiti PBD di sekolah diketuai oleh Pengetua/Guru Besar (PGB) untuk memastikan kualiti dan kelancaran pelaksanaan pentaksiran dalam bilik darjah dengan melibatkan pelbagai pihak seperti:
nPengetua/Guru Besar (PGB)
nPenolong Kanan (PK), PK Akademik, PK Hal Ehwal Murid,
nPK Kokurikulum , PK Pendidikan Khas, Penolong Kanan Petang
nGuru Kanan Mata Pelajaran (GKMP)/Ketua Bidang (KB)
nKetua Panitia (KP)
nGuru Mata Pelajaran (GMP)
nGuru yang dilantik oleh PGB/Jawatankuasa Kurikulum sekolah/ Jawatankuasa PBS sekolah
PELAKSANAAN PENTAKSIRAN BILIK DARJAH BERASAKAN PROJEK
Menurut KPM (2019), pelaksanaan projek merupakan satu proses pembelajaran yang berpusatkan murid di mana pelbagai disiplin ilmu boleh diintegrasikan secara sistematik dan terancang. Aktiviti kerja projek dilakukan selepas murid telah didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan. Pentaksiran secara berterusan perlu dijalankan semasa pelaksanaan projek dan ini dikenali sebagai Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Berasaskan Projek. Pelaksanaan kerja projek memberikan murid ruang untuk meneroka dan menyelesaikan sesuatu isu atau masalah secara praktikal dengan menjalankan inkuiri, perancangan, pelaksanaan dan refleksi. Ini menggalakkan pembelajaran aktif dan pengaplikasian KBAT. Di samping itu, kemahiran berkomunikasi murid juga dapat dikembangkan dan secara tidak langsung nilai-nilai murni murid diterapkan semasa proses pelaksanaan projek. Melalui kerja projek, pemerolehan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan penerapan nilai murid dapat dioptimumkan.
Matlamat Melaksanakan Projek
Matlamat pelaksanaan projek dalam KSSR adalah untuk menggalakkan dan membolehkan murid mendapat pengetahuan dan kemahiran baharu serta mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk menyelesaikan masalah dalam proses pembelajaran secara aktif.
Langkah Menjalankan Projek
Proses Pelaksanaan PBD Berasaskan Projek
a. Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum bersama-sama Pentadbir Sekolah (Pengetua/Guru Besar dan Penolong Kanan/Guru Kanan Mata Pelajaran)
b. Perbincangan antara Setiausaha PBD dengan Guru Kanan Mata Pelajaran dan Ketua Panitia
c. Perbincangan antara Ketua Panitia dengan Guru Penyelia Projek PBD
d. Makluman kepada murid dan ibu bapa/penjaga yang terlibat
e. Perjumpaan Guru Penyelia PBD Projek dengan Murid
f. Murid memulakan kerja projek
g. Penyeliaan dan Bimbingan Guru Penyelia Projek PBD dengan Murid
h. Pentaksiran Kerja Projek
i. Pelaporan dan Showcase (Persembahan) Kerja Projek PBD
Jangka Masa untuk Menyempurnakan Projek
Tempoh masa pelaksanaan projek adalah sepanjang tahun. Perbincangan bersama-sama guru, pemilihan tajuk projek, bentuk kumpulan boleh dijalankan pada awal tahun.
Etika dalam Melaksanakan Projek
nMurid harus memilih tajuk yang sesuai dan mengambil kira sensitiviti sekolah dan komuniti setempat.
nGuru harus memastikan bahawa produk murid tersebut adalah hasil kerja murid sendiri.
nMurid harus menyatakan sumber rujukan semasa mendapatkan maklumat daripada buku, majalah atau internet.
Rubrik Pentaksiran Berasaskan Projek
Rubrik merupakan alat penilaian subjektif yang digunakan untuk menilai prestasi dan tahap peningkatan seseorang murid. Rubrik menggambarkan kriteria yang konsisten dan membolehkan tahap penguasaan murid dinilai dengan lebih spesifik dan tepat dari pelbagai dimensi. Rubrik boleh digunakan dalam pembelajaran, contohnya murid boleh menilai prestasi mereka pada projek, esei dan tugasan.
Rubrik Pentaksiran Berasaskan Projek merupakan satu set pemarkahan atau tahap penguasaan untuk mentaksir hasil kerja dan tugasan murid. Rubrik tersebut terdiri daripada enam dimensi iaitu:
nMengumpul Maklumat
nMerancang
nMengaplikasi
nMembuat Refleksi
nBerkomunikasi
nEtika dan Kerohanian
Setelah guru mentaksir murid berdasarkan enam dimensi ini, guru akan menetapkan tahap penguasaan keseluruhan berdasarkan pertimbangan profesional guru.
KAEDAH PENTAKSIRAN
Dalam pelaksanaan PBD matematik, terlebih dahulu guru perlu menentukan hasil pembelajaran yang akan dicapai oleh murid masing-masing berdasarkan objektif pembelajaran yang ditentukan dari Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran.
Terdapat tiga kaedah pentaksiran yang boleh dilaksanakan terhadap PdP matematik iaitu:
(i) Pemerhatian
(ii) Lisan
(iii) Penulisan
Pentaksiran menggunakan ketiga-tiga kaedah tersebut boleh dilaksanakan secara berasingan atau digabungkan untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan jelas tentang kebolehan dan tahap penguasaan murid. Guru bebas memilih dan menentukan kaedah serta instrumen pentaksiran berdasarkan kreativiti, situasi dan hasil pembelajaran yang hendak dicapai.
Kaedah Pentaksiran Secara Pemerhatian
Pemerhatian dilaksanakan sepanjang proses PdP. Instrumen pentaksiran yang boleh digunakan semasa membuat pemerhatian ialah seperti berikut:
nsenarai semak,
nanekdot, atau
nrekod berterusan (running record)
Kaedah Pentaksiran Secara Lisan
Pentaksiran secara lisan digunakan untuk mengumpul maklumat semasa berlaku interaksi antara
i. murid dengan guru,
ii. murid dengan murid, dan
iii. murid dengan pembelajaran
nPentaksiran Secara Lisan antara Murid dengan Guru
Guru boleh berinteraksi dengan murid melalui penyoalan dan membuat penilaian secara teliti dengan memberi komen kepada respons murid untuk menggalakkan pembelajaran yang berkesan. Respons guru boleh pelbagai. Guru harus memberi motivasi untuk membantu murid menambah baik jawapan mereka.
nPentaksiran Secara Lisan Antara Murid Dengan Murid (Pentaksiran Rakan Sebaya)
Pentaksiran berlaku semasa penerangan murid kepada rakan-rakannya dalam aktiviti berkumpulan. Murid juga boleh membuat penilaian kendiri semasa berbincang dengan rakan-rakannya.
nPentaksiran Secara Lisan Antara Murid Dengan Bahan Pembelajaran
Guru membuat catatan pentaksiran berdasarkan aktiviti tersebut dengan menggunakan penyataan Standard Prestasi mengikut DSKP mata pelajaran matematik.
Kaedah Pentaksiran Secara Penulisan
Kaedah ini dilaksanakan untuk mengesan kebolehan murid dalam menguasai kemahiran dan perkembangan murid yang melibatkan aktiviti menyemak dan memeriksa hasil tugasan murid dan juga pentaksiran kendiri.
Contoh: Lembaran Kerja (Soalan Latihan)
Guru dapat mentaksir pencapaian murid melalui latihan yang dibuat oleh murid. Susun semula dan menulis nombor mengikut tertib menaik dan menurun. Guru menyediakan lembaran latihan susun nombor untuk disusun dan diisi oleh murid
Contoh: Lembaran Kerja (Bentuk Jadual)
Guru dapat mengesan kefahaman murid tentang kandungan pembelajaran selepas PdP dijalankan. Contoh: jadual nilai tempat.
PENTAKSIRAN RAKAN SEBAYA
Contoh pentaksiran rakan sebaya yang boleh dilakukan:
i. Menyemak kerja murid lain selaras dengan kriteria tertentu, contohnya bertukar-tukar buku latihan, lembaran kerja atau kertas jawapan ujian dalam bilik darjah.
ii. Perbincangan dalam kumpulan secara formal berdasarkan tugasan yang dilakukan dalam bilik darjah.
iii. Memeriksa dan memberi skor contoh kerja terdahulu, contohnya mentaksir contoh kerja yang baik dan tidak baik serta dapat menyatakan sebab kerja tersebut baik atau tidak baik.
iv. Perbincangan dan maklum balas secara formal dan tidak formal.
v. Kerja berkumpulan untuk menggalakkan komunikasi, kolaboratif, kerja berpasukan dan pentaksiran sesama murid. Contohnya pembelajaran berasaskan projek atau lain-lain aktiviti berkumpulan. Guru boleh menyediakan senarai semak, skala kadar atau lain-lain instrumen yang sesuai semasa pentaksiran rakan sebaya. Instrumen yang digunakan ini bergantung kepada aktiviti pentaksiran yang dijalankan.
PELAKSANAAN UJIAN SUMATIF
Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan ujian sumatif, beberapa langkah di bawah perlu diberikan penekanan (KPM, 2016):
a) Membentuk Jadual Penentuan Ujian (JPU)
Penyediaan jadual penentuan ujian atau jadual spesifikasi ujian ini merangkumi semua tajuk dan topik pembelajaran, masa pengajaran dan pembelajaran dan jumlah dan aras soalan. JPU yang lengkap ini membantu memudahkan guru membina soalan yang lengkap dan mudah untuk memastikan tiada topik pembelajaran yang tertinggal untuk diuji.
b) Membina soalan
Pembinaan soalan ujian ini hendaklah berdasarkan JPU yang telah dibina. Soalan hendaklah menguji hasil dan objektif pembelajaran sesuai dengan kehendak asal pelaksanaan ujian ini dibuat. Pembinaan soalan hendaklah mengandungi aras dari mudah ke sukar berdasarkan nisbah yang tepat. Ini bagi memberi peluang kepada murid yang lemah untuk turut mendapat markah dan membantu merangsang pemikiran murid yang bijak untuk menjawab soalan yang sukar. Arahan dan kehendak soalan juga hendaklah dinyatakan dengan jelas pada kertas soalan.
c) Mengumpul soalan secara sistematik
Soalan-soalan yang dibina biasanya terdiri daripada soalan berbentuk objektif dan subjektif. Oleh itu, kepelbagaian bentuk soalan ini juga hendaklah disusun dengan teratur dan sistematik dan diasingkan mengikut bentuknya. Soalan hendaklah disusun mengikut topik awal kepada seterusnya mengikut JPU.
d) Menguji soalan melalui kajian rintis
Soalan yang telah siap dibina kemudiannya akan diuji kepada beberapa orang sampel murid bagi melihat kesesuaian dan memperbaiki kelemahan soalan yang didapati ada bagi memastikan kesahan ujian adalah tinggi.
e) Menyiapkan skema pemarkahan
Penyediaan skema jawapan ini adalah bagi memastikan skrip jawapan adalah selaras bagi ujian berpusat yang akan diperiksa oleh bukan hanya seorang guru. Ini bagi memastikan tidak berlaku diskriminasi dan menjadi panduan kepada pemeriksa dalam memeriksa jawapan murid.
Selepas pelaksanaan dan keputusan ujian dikeluarkan, tindakan yang perlu dan boleh diambil adalah menempatkan murid mengikut kumpulan yang sesuai, memberi sijil dan gred mengikut tahap pemcapaian mereka. Sekaligus, para guru dapat membuat refleksi terhadap keberkesanan sesebuah kurikulum yang dilaksanakan itu.